KEIKHLASAN BEKERJA
Dalam kehidupan, sering berlaku perkara yang tidak kita sangka. Malahan,
perancangan dan jangkaan kita kadangkala tersasar dari realiti atau takdir yang
dipersembahkan kepada kita. Hakikatnya, seandainya kita menghulurkan bantuan
atau melakukan kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun
yang membalasnya bukannya orang yang menerima bantuan atau kebaikan itu
sendiri.
Ingin dikongsikan di sini satu pengalaman seorang fasilitator latihan & motivasi
semasa mengendalikan satu program di sebuah organisasi korporat. Apabila
ditanya tentang harapan atau expectation pada pihak pengurusan atau organisasi
tempat bekerja, salah seorang staf yang mengikuti sesi tersebut menyatakan; “Saya tidak mempunyai apaapa
harapan terhadap organisasi ini.”
“Mengapa?” balas fasilitator tersebut.
“Dari pemerhatian saya, organisasi ini penuh dengan kaki bodek dan kaki ampu. Sedangkan orang yang
bekerja secara ikhlas diketepikan, tidak dihargai dan tidak menerima ganjaran yang wajar. Saya bukan orang
yang bermuka-muka. Saya tak pandai nak ampu-ampu bos atau orang atasan. Fokus saya kepada kerja
sahaja.”
Peserta berkenaan merupakan antara staf paling senior di organisasi tersebut. Pengalamannya di organisasi
tersebut mencakupi puluhan tahun. Malahan, itu adalah kali terakhir dia mengikuti
program latihan memandangkan beberapa bulan lagi beliau akan bersara.
Semasa waktu rehat, sambil minum-minum, fasilitator tersebut bertanya kepada
nya, “Anak-anak masih bersekolah atau sudah bekerja?”
Tidak disangka soalan tersebut membawa keceriaan pada wajahnya. Staf
tersebut menceritakan bahawa semua anak-anaknya sudah bekerja. Anakanaknya
kini bertugas sebagai doktor, jurutera, dan pensyarah. Malah seorang
anaknya telah menjadi hafiz. “Alhamdulillah semua anak-anak saya ‘menjadi’.
Lantas fasilitator tersebut terpanggil untuk bertanya lagi, “Jika diberi pilihan,
antara anak-anak yang ‘menjadi’ dan berjaya dalam karier mereka, atau anda
dapat naik pangkat dengan gaji lebih, mana satu yang dipilih?”
Dengan pantas beliau menjawab, “Tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi, biarpun saya tidak naik gaji
atau berpangkat besar. Anak-anak adalah harta yang paling berharga!”
Jawapan itu membuatkan fasilitator tersebut tersenyum sambil berkata, “Sebenarnya keikhlasan dan
kegigihan awak bekerja dalam organisasi ini telahpun mendapat ganjaran, tapi bukannya melalui kenaikan
gaji atau pangkat, tapi melalui ganjaran yang lebih bermakna. Keikhlasan bekerja itu telah dibalas melalui
kejayaan dan pencapaian anak-anak.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu,” kata beliau.
“Ada kalanya takdir dan kejadian yang Tuhan persembahkan terlalu misteri dan rahsia
untuk dijangkau oleh minda kita. Jadi kita perlu yakini, what you give, you’ll get back.
Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan
kembali kepada kita. Yakinlah.” ujar fasilitator tersebut.
Terus staf tersebut bertanya pula “Maksudnya balasan atau ganjaran itu tidak
semestinya datang terus daripada orang atau pihak yang kita berikan kebaikan itu?”
tanya staf tersebut.
“Benar” jawab fasilitator tersebut.
“Maknanya kebaikan itu saya lakukan di tempat kerja, tapi pembalasan Allah bukan
melalui ganjaran pada pekerjaan saya, sebaliknya diberikan dalam rezeki kejayaan
anak-anak & keluarga, begitukah maksudnya?”
“Ya, sesungguhnya ketentuan Ilahi kadangkala terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad,
siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Ini dipanggil golden rule.
No comments:
Post a Comment